Thursday 20 February 2014

Secebis Kebimbangan Seorang Insan

Hari ini telah aku perhati
bagaimana bumi seperti punyai hati
pabila marah
cuaca pastikan terik sekeringnya
atau hujan tanpa ada hentinya
adakala ia reda
namun angin kencang pula menyapa
cuaca berubah sekelip mata
bagai ia punyai rasa

Seperti manusia yang hatinya tidak menentu
bisa berubah tanpa ada yang tahu
nampak diam seperti malu
rupanya dendam didalam hati
merencana agenda demi kepuasan diri

Aku bimbang
sebagai seorang lelaki
juga seorang abang
mungkin dimasa depan sebagai suami
juga bapa kepada anak yg tersayang
bimbang akan dunia yang tidak lagi tenang
bimbang tentang manusia yang kian hilang rasa sayang

Apa agaknya akan terjadi
dimasa depan generasiku nanti
hari ini juga aku seperti hampir terduduk
melihat dunia yang semakin teruk
jenayah berlaku disetiap ketika
tembak menembak seperti perkara biasa
perang yang tiada sudahnya
itu belum lagi aku cerita akan ketamakkan manusia
yang buta ditusuk harta, pangkat dan wanita

Andai tiada sudahnya lagi
hancur bumi ditangan penghuninya sendiri
jika begini, wajarlah bumi merajuk hati
agar manusia terasa diri
Bumi
tempat tumpangan semata-mata
bumi juga bukan milik seorang sahaja
bumi tempat tinggal bersama
agar yang lain juga bisa
merasa nikmat ciptaan Tuhan kita.

Wednesday 12 February 2014

Puisi Bila Terang

Bila terang
Maksiat pun kurang
Kerana
Tak boleh buat perkara terlarang
Kerana
Mereka bimbang akan mata yang memandang
Maka kurang berlaku perkara sumbang

Bila terang
Idea dan ilham datang mencurah
Semua benda terlihat indah
Semakin kurang perkara yang susah
Dan dunia tampak lebih indah

Bila terang
Terlihat dunia lebih luas
Akal fikir juga semakin bebas
Teroka dunia yang kian buas
Akan ancaman yang semakin ganas
Semoga
Kita akan lebih awas
Dan tidak kan tewas
Atau Lemas

Saturday 8 February 2014

Hidup Jangan Terlalu Mendongak

Teringat aku pesan orang tua-tua dahulu kala bahawa hidup kita jangan jadi manusia yang mudah lupa akan jasa dan korban insan lain. Dalam erti kata lainnya, pabila kejayaan telah menjadi nyata, ingatlah datangnya ia bukan kerana diri sendiri sahaja. Adalah mustahil bagi kita untuk kecapi sesuatu dengan usaha sendiri kerana bantuan lain itu perlu dan pasti sama ada kita sedar apa pun tidak. Jadi manusia itu hidup jangan terlalu mendongak ke atas hingga terlindung penglihatan yang bawah. Kita berjalan dibawah, takut nanti tak terlihat halangan, tersadung kaki lumpuh terus mati. Paling teruk bila jatuh, dibenci dan tidak ada yang mahu menolong. Pepatah ada berkata, jadi kacang itu jangan pernah lupa akan kulitnya.

Friday 7 February 2014

Silap Berlaku Tidak Hanya Sekali

Adanya manusia itu perlu tahu bahawasanya kesilapan itu berlaku tidak hanya satu. Pelik, ia seperti manusia tidak belajar daripada kesilapan lalu dan terus menerus perlaku kesilapan serupa. Namun, ia benar kerana manusia itu lahirnya tidak sempurna akalnya selain digoda oleh nafsu dan syaitan durjana. Benar, silap itu boleh berlaku lebih daripada satu namun jika iman masih menguasai pasti mahu kita mencegah dari angkanya bertambah lagi. Daripada silap yang lalu, kaji dan perbaiki agar diri mampu jadi lebih bermutu dan jitu. Yang merasa tempias akan kesilapan lalu, ampunilah mereka insan yang memperlaku kesilapan itu. Sesungguhnya sama ada ia sengaja atau tidak, jika maaf dipinta sejujur hati ikhlaskanlah maaf yang diberi. Seseungguhnya manusia itu sempurna kerana tidak sempurna.

Langkah Satu Dalam Seribu

Dalam hidup setiap individu pasti ia bermula dengan langkah satu. Ini bermakna dalam setiap apa yang kita perlaku tidak mungkin kita akan terus tahu atau mahir tentang suatu perkara. Pasti ada permulaan didalam setiap apa yang kita lakukan. Seperti juga diri ini, bermula dengan langkah satu pada hari ini aku ingin berjinak-jinak dengan dunia penulisan alam maya iaini blog. Masih banyak perkara dalam dunia yang belum aku teroka tapi hari ini tekad aku ingin bermula dengan menerokai perkara ini dahulu. Aku cuba dan siapa tahu aku akan suka. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecah ruyung, manakan dapat isi sagunya.